Pagi ini, Khamis pukul 7.50 pagi dalam perjalanan ke pejabat; terdapat satu kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan. Tidak silap saya kereta Atos (dalam gambar) yang tayar belakang kanan hampir tertanggal, Proton Iswara Aeroback Merah, MyVi dan sebuah Honda. Kereta Honda berkenaan tidak dapat saya pastikan model apa.
Khamis, 4 November 2010
Kemalangan Jalan Raya di NKVE, 04 November 2010
Pagi ini, Khamis pukul 7.50 pagi dalam perjalanan ke pejabat; terdapat satu kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan. Tidak silap saya kereta Atos (dalam gambar) yang tayar belakang kanan hampir tertanggal, Proton Iswara Aeroback Merah, MyVi dan sebuah Honda. Kereta Honda berkenaan tidak dapat saya pastikan model apa.
Rabu, 3 November 2010
Keputusan Peperiksaan Semester Akhir 2010 Nour Almawaddah
Inilah pencapaiannya..
Ada peningkatan berbanding awal semester dulu... Dulu dapat nombor akhir, sekarang dah dapat nombor 16 daripada 19 orang. Hafalan surah dulu "C"; sekarang "A".. Hafalan doa; "C" ke "B"...
Akhlak, disiplin dan tanggungjawab pun dah berubah daripada "B" ke "A".. Alhamdulillah..
Semoga dianugerahkan kesihatan dan umur yang berkat
Pada 01 November 2010 (Isnin) yang lalu, emak saya minta dibawakan ke Hospital Pusrawi, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Ekoran batuk-batuk yang dialami belum sembuh-sembuh sejak sekian lama. Ya Allah, kau kasihilah dia sebagaimana dia mengasihiku ketika kecil! Amin.
Disebabkan kami sampai lewat (lebih kurang 3 petang), doktor di bahagian pesakit luar dah penuh dengan pesakit. Jadi kami dinasihat ke Bahagian Kecemasan.
Menurut kata doktor, nafas emak berbunyi; saluran pernafasan dijangkiti kuman, alahan dan lendir (kahak) yang banyak. Ubat batuk biasa tidak memadai, jadi doktor beri ubat melalui topeng. Ubat tu macam wap yang disedut melalui topeng.
Mujur ada permainan di wad kecemasan, sekurang-kurangnya anak-anak saya dapat bermain.
Dan mujur ada televisyen... dapatlah anak-anak saya tonton kartun.. Ben 10..
Dalam pada menunggu di wad kecemasan, saya terpandang iklan Kad Permata Pusrawi. Ini kelebihan ahlinya yang saya salin dari laman web Hospital Pusrawi..
Kad PERMATA PUSRAWI adalah kad keistimewaan khas untuk pelanggan
berumur 55 tahun ke atas.
KELEBIHAN
Kemasukan wad:
15% diskaun harga bilik (2 katil & 1 katil)
10% diskaun ubatan dan suntikan
10% diskaun ujian di Makmal
10% diskaun ujian di Unit Pengimejan dan Diagnostik
10% diskaun caj Pakar
Rawatan pesakit luar:
10% diskaun ubatan dan suntikan
10% diskaun ujian di Makmal
10% diskaun ujian di Unit Pengimejan dan Diagnostik
10% diskaun rawatan Fisioterapi
Syarat – syarat:
* WARGANEGARA Malaysia sahaja
* pesakit/pelanggan yang membuat bayaran secara tunai
* untuk penama di atas kad sahaja
* pesakit/pelanggan yang berumur 55 tahun ke atas (mengikut tarikh lahir)
* tidak boleh dipindahmilik
* tiada yuran pendaftaran
* caj RM5 dikenakan bagi menggantikan kad hilang
* tidak boleh digunakan ke atas harga pakej
* ahli perlu mengemukakan kad ini di Kaunter Pendaftaran dan sebelum pembayaran dibuat
* segala kelebihan yang ditawarkan adalah tertakluk atas budibicara pihak pengurusan Hospital Pusrawi Sdn Bhd
* kad ini tidak berfungsi sebagai kad kredit atau kad caj-bayar
Saya terus mendaftar untuk emak... Dapat diskaun 10%.
Cerita dolu-dolu berfacebook
Selasa, 2 November 2010
I City, Shah Alam @ 30 Oktober 2010
Sabtu, 30 Oktober 2010
~~The Way They Sleep Giveaway~~

Gatal tangan nak mencuba contest ni pulak, anjuran Pn Hafizah Ismail...
Tarikh:11 oct hingga 30oct (12midnite)
Peserta: Anak, adik, ank buah, anak jiran..xkisah as long as between 1day old to 7 years old :)
Juri: my hubby akan pilih top 10..then our Wafa akan pick up the winner..boleh kan?hehe
Syarat2 penyertaan:-

Gambar anak sulung saya, Nour Almawaddah Ahmad Azlan (Umur 4 tahun) terlelap selepas didera emaknya. Penat menjalani sesi fotografi bertudung.. sampai dah tak boleh tahan, terus terlelap tepi tilam...
Rabu, 27 Oktober 2010
Masa Berkualiti
Husna, saya suruh duduk sebelah abangnya untuk bergambar. Mula-mula abangnya duduk di pangkal pokok mata kucing. Kemudian, abangnya beralih duduk, Husna pun ikut. Baik sungguh yang sorang ni.
Selasa, 26 Oktober 2010
Jumaat @ 22 Oktober 2010 = 18 Zulkaedah 1431H; Saya Bahagia
Apabila sudah bersedia, saya maklumkan pada emak.
Emak: Anak-anak dah siap?
Saya terpinga mendengar soalan berkenaan kerana kebiasaannya apabila ke mana-mana dengan emak, saya akan menunggang motor. Manakala, anak-anak akan dijaga oleh jiran yang akan bertandang di rumah tatkala kami keluar.
Saya: Nak bawa ke? Naik kereta?
Emak : Yelah.. siapa pula nak menjaganya?
Hati saya berbunga riang. Kenapa?
Saya sudah memiliki lesen kereta sejak tahun 2005. Itulah kali pertama emak saya sudi naik kereta yang saya pandu. Hahaha. Sebelum ini kalau saya pelawa, emak pasti cakap;
'Tak nak aku, naik motor lagi bagus.. cepat sampai, cepat balik'
Hari itu juga mencatat sejarah apabila saya terlanggar tiang rumah semasa mengundur keluar dari perkarangan rumah. Sebab pandangan saya tidak lepas dari melihat sesusuk tubuh emak saya di hadapan rumah yang sepatutnya saya perhatikan cermin sisi.
Emak saya kata;
"Ai... hari-hari bawa kereta, hari ni pulak nak langgar tiang?"
Apa-apa jelah mak... Asalkan emak suka naik kereta ngan orang...Kata hati saya.
Yang pasti RM$$$$ melayang untuk baiki kereta. Suami saya siap bagi "tazkirah" berkenaan kemalangan itu.
Jadual perjalanan kami empat beranak;
1. Bank Simpanan Nasional - Emak keluarkan pencen
2. Pejabat Pos - Buka Akaun ASB
Layanan kakitangan kaunter masih mengecewakan selaku pelanggan; kurang budi bahasa dan kurang senyuman.
Sementara saya berurusan di Pejabat Pos, emak saya ke klinik bersebelahan.
Berikut gambar dua beradik di kaunter Pejabat Pos, Batu 4 1/2, 51100 Kuala Lumpur.
Yang sulung tidak ikut sama kerana berada di TASKI Kampung Batu Muda. Soalan dia kepada saya setelah mengetahui kami berempat keluar tanpa dia bersama;
"Mak kenapa tak tunggu kakak balik sekolah?" dengan ekspresi wajah berkerut. Hahaha... Sian dia kena tinggal...
Sekiranya ku tahu....
Semalam semasa saya tiba di rumah, Alhusna dan Eimran telahpun tidur. Dalam pukul sebelas malam, tetiba Alhusna terjaga sehingga pukul 2.30 pagi. Merengek-rengek dan menangis. Puas segala benda saya ikhthiar... Pujuk, dukung, dodoikan, riba, buatkan susu... semuanya gagal.
Usaha akhir saya...
Saya: Husna jangalah nangis-nangis... Cuba cakap elok-elok Husna nak apa..
Tangis si kecik berhenti sebentar... Sepasang mata yang kemerah-merahan dek kerana menangis itu memandang saya tetapi masih membisu.
Saya: Husna nak makan? Jom pergi dapur ye..
Bingkas Husna bangun.. Dalam hati saya, lapar ke anakku ini. Saya pimpin tangan kecil ke dapur. Si kecil saya lapar rupanya, pukul 2.30 pagi tadi, Husna makan nasi dan mihun goreng. Hahaha kalau saya tahu Husna lapar mesti awal-awal lagi ke dapur..
Memang kebiasaan saya balik kerja akan menyuapi anak-anak makan. Mereka walaupun sudah makan bersama nenek atau bapanya, kalau saya makan mesti mengendeng sama.
Kasihan Husna... Ini keadaan dia selepas makan..
Rabu, 20 Oktober 2010
Alhamdulillah ... Hadiah dah diterima... Terima Kasih Pn. Stoberi
Comel sungguh setem itu.. Dalam hati, "ini musti Pn. Stoberi..". Dan, dan juga sampul dibuka. Punya tak menyabar. Hahahaha. Jangkaan saya benar, hadiah Pn. Stoberi Sedondon Raya telah tiba. Tara... ini gambar yang saya ambil sebentar tadi.
Alhamdulillah. Siap ada sijil penghargaan. Terima kasih daun keladi Pn. Stoberi, lain kali buat lagi.. Saya akan tetap datang ke kebun Pn. Stoberi, naik traktor.. Hahahaa banyak sikit stoberi saya boleh bawa balik..
Isnin, 18 Oktober 2010
Syukur Alhamdulillah
Dalam rintik-rintik hujan yang sekejap menggila sekejap reda. Di atas motor, dua kanak-kanak berseragam biru tua dan berkemeja putih; duduk di dalam bakul dan di belakang ayahnya. Cuma berlindung dengan baju hujan. Kudrat ayah mereka sedaya-upaya menahan motor dan cuba menghidupkan enjin berkali-kali; di cerun bukit.
Tak semena-mena air mata saya bergenang. Tak putus-putus saya melihat cermin sisi sementara trafik agak perlahan kerana menghampiri lampu isyarat. Saya doakan semoga Tuhan mempermudahkan urusan mereka. Saya tertinjau-tinjau jikalau ada penunggang motorsikal lain menumpangkan dua beradik berkenaan. Ikutkan hati mahu sahaja saya turun mempelawa mereka.
Tika itu jua, saya terbayang anak-anak di rumah. Syukur alhamdulillah. Kami diberi kemampuan olehNya untuk mengupah orang menghantar anak sulung ke TASKI, emak saya yang menyiapkan anak ke TASKI dan anak-anak yang lain berada di bawah pengawasan orang yang paling saya kasihi...
Dan syukur, sebelum saya melepasi barisan panjang persimpangan tersebut, kelibat motor cabuk itu mendahului saya... Amin...
Kekadang kita lupa kita sebenarnya bertuah... Ya Allah...
Khamis, 14 Oktober 2010
Mak... 31hb depan ada apa? (31hb depan = 31hb Nov 2010)
Semalam (13 Oktober 2010) sedang saya bersiap untuk sholat Maghrib, anak sulung saya bertanya;
Nour Almawaddah : "Mak.... 31hb depan ada apa?"
Saya : "Hah?"
Saya keliru dengan soalan anak saya ni sambil mencongak. Bulan depan November, hari jadi saya 30hb Nov... Itulah hari terakhir bulan berkenaan.
Nour Almawaddah : "31hb depan ada apa............." (Dengan nada yang tinggi sedikit daripada awal tadi)
Saya : "Manalah mak tahu... Kenapa?"
Terkebil-kebil mata si sulung sambil memandang saya. Tiba-tiba dia melompat-lompat sambil menyanyi...
Nour Almawaddah : "Tanggal 31 bulan depan tiga puluh tujuh"
Menyanyi-nyanyi lagu 31 Ogos, dendangan Allahyarham Sudirman. Lah... dalam hati saya... bukan 31hb bulan depanlah bertuah.. 31hb lapan ....
Sabar ajelah...
Rabu, 13 Oktober 2010
Hasil Karya Nour Almawaddah Ahmad Azlan -
Anak sulung saya sibuk menunjukkan hasil karya terbaru. Lupa pula nak tanya apa bendanya... Mula-mula saya ingat yang berbentuk bunga matahari merupakan bunga di atas tanah... Rupanya; "Kakilah mak!", ujar si kechik tomey.
Minggu depan, Almawaddah akan menghadapi peperiksaan... Bilalah emak dia nak buat latihan kerja sekolah dengan kechik tomey nie? HaHahahhha
Semoga dipermudahkan urusan anak mak Nour Almawaddah Ahmad Azlan dan diberkati ilmunya. Amin. Dan semoga Allah permudahkan urusan dunia dan akhirat guru-gurunya. Amin.
Panduan Menunggang Motorsikal - Bahagian II
1. Lampu signal
Pastikan lampu signal berfungsi dan sila gunakan ianya apabila hendak menukar laluan. Lampu signal bukanlah sekadar hiasan di motorsikal; ianya perlulah dimanfaatkan.
2. Lampu hadapan
Pastikan ianya bernyala kerana sinaran lampu pada cermin kenderaan lain membantu sebagai tanda ada motorsikal berhampiran. Hatta di siang hari, pastikan ianya dinyalakan.
3. Lampu Brek
Sebagai keselamatan tambahan bagi pengguna lain untuk melihat kita dari belakang lebih-lebih lagi dalam suasana awal pagi, hujan mahupun malam.
4. Brek
Cengkaman brek hendaklah diperiksa selalu untuk memastikan ia berfungsi dengan baik.
5. Tayar
Tayar motorsikal juga penting untuk tunggangan yang selamat. Periksa bunga tayar dan tentukan ianya ditukar apabila telah botak. Kadar angin bagi tayar juga perlu kerap diperiksa.
Sekiranya kita sering bergerak dalam jarak yang jauh, adalah lebih baik tayar ditukar kepada tayar mati (tubeless). Tayar mati kurang risiko untuk pancit dan ianya lebih selamat.
6. Cermin sisi
Cermin sisi bagi sesebuah motorsikal merupakan keperluan dalam komponen keselamatan. Cermin sisi memberikan pandangan kepada penunggang berkenaan keadaan di belakang bagi sisi kiri dan kanan. Kerapkali saya perhatikan motorsikal hanya mempunyai sebelah sahaja cermin dan selalunya tiada langsung. Cermin sisi membantu kita membuat tindakan sewajarnya. Terutamanya untuk menukar haluan atau melihat kenderaan yang datang menghampiri kita.
7. Nombor plat
Pastikan nombor plat pada motorsikal dalam keadaan sempurna dan mengikut spesifikasi yang dibenarkan. Kegagalan untuk memastikan kesempurnaan nombor plat bisa membahayakan kesihatan poket anda.
Sekiranya anda menggunakan motor dua lejang yang memungkin nombor plat anda berjelaga, sila bersihkannya secara kerap.
8. Minyak Motor
Walau setara mana pun kejelitaan motor anda, sila pastikan tangkinya mempunyai minyak. Kehabisan minyak di laluan yang tidak sepatutnya (selekoh, jalan sunyi, lebuh raya, laluan motorsikal) boleh meletakkan nyawa kita dalam bahaya. Situasi kita menolak motorsikal tatkala kenderaan lain memecut memungkinkan kita tidak sempat dielak daripada dilanggar. Oleh yang demikian, sekiranya kehabisan minyak dan kita terpaksa menolak ke stesen minyak berhampiran; adalah lebih sesuai kita melawan arus trafik. Dengan melawan arus trafik kita dapat melihat kereta yang datang ke arah kita. Sekiranya stesen minyak jauh dari lokasi, minta bantuan daripada penunggang motorsikal yang lain.
Selasa, 12 Oktober 2010
Panduan Menunggang Motorsikal - Bahagian I
Entry kali ini saya kongsikan berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya. Saya bukanlah pakar tetapi jika diberi pilihan antara menunggang motorsikal dengan memandu kereta; saya akan pilih menunggang motorsikal. Banyak pengalam suka-duka bermotorsikal, walaupun saya cuma berpengalaman menunggang motor kapcai; namun Tuhan temukan jodoh saya dengan si dia yang gila motor. Sehingga kini, saya gagal untuk meng-upgrade-kan cc penunggangan ke R1 mahupun Hayabusa dek kerana tiada mendapat keizinan emak saya juga.

Bertemankan suami yang kaki motor; daripada motor klasik sampai superbike beliau amat obses. Sehinggakan bab baiki, cat mahupun upgrade rakan-rakan juga bos di tempat kerja akan mencari beliau. Di sisi suami, minat saya pada penunggangan motor turut meliputi soal keselamatan ketika menunggang.
Sebelum menunggang, terdapat beberapa disiplin pakaian yang perlu diambil perhatian.
1. Pakaian yang bersesuaian:-
i. Warna
Pastikan memakai pakaian berwarna cerah. Sekiranya pakaian berwarna gelap, seeloknya pakai jaket keselamatan. Sekiranya tiada jaket keselamatan, boleh diusahakan menggalaskan beg yang berwarna cerah atau beg yang mempunyai pemantul cahaya di belakang badan.
Ini dapat membantu pengguna jalan raya yang lain melihat kita dan seterusnya menyedari kehadiran kita.
ii. Cara pemakaian
Kebiasaan penunggang motorsikal gemar menyarungkan jaket secara terbalik. Yakni baju dizipkan (selalunya tidak dizip) di belakang badan. Cara ini tidak betul. Setiap bahagian jaket dicipta untuk melindungi anggota badan tertentu. Kegagalan untuk memakai secara sepatutnya memungkin kecederaan. Apa yang saya perhatikan selalunya jaket tidak dizip dan dibiar menggelebeh ke handle motor. Ini juga tidak sesuai dan boleh mengundang bahaya kerana sedikit-sebanyak ianya mengganggu fokus penunggangan. Terdapat juga kes di mana jaket tersangkut pada roda motor semasa di atas jalan raya.
iii. Seluar
Seeloknya pakailah seluar panjang dan bukannya seluar katok. Ingatlah, tar jalan itu lebih keras daripada kepala lutut anda.
2. Kasut
Lebih molek kiranya kita memakai kasut daripada selipar hatta tatkala musim hujan. Dek kerana sekiranya terlibat dengan kemalangan, sekurang-kurangnya bahagian kaki (buku lali, jari, pergelangan kaki) kita selamat dan kasut itu boleh dicari ganti.
3. Topi Keledar
Pastikan topi keledar yang dipakai mempunyai logo SIRIM. Adalah berbaloi mengeluarkan sedikit belanja untuk topi keledar yang bermutu kerana ianya melindungi aset paling penting kita; yakni kepala. Saya kurang faham sikap sesetengah individu yang sanggup menebuk lubang di kedua-dua sisi topi keledar bagi membolehkan ianya dirantai pada roda motor. Sudahlah jenama Apollo atau Magnum yang hanya memberikan perlindungan minima, ditebuk pula.
Pemakaian topi keledar hendaklah diikat dengan kemas dan bukannya dibiarkan teroleng-oleng di kepala.
4. Sarung Tangan
Sarung tangan merupakan kelengkapan penunggangan yang sering diabaikan. Kebiasaannya, hujung jaket dilabuhkan untuk melindungi tangan. Kepentingan sarung tangan tidak patut diabaikan kerana ianya turut berfungsi melindungi sendi-sendi tangan dan amat berguna untuk melindungi tangan daripada cuaca panas mahupun hujan.
Jaket, topi keledar, but mahupun sarung tangan selalunya kami beli di Sentul dan Kompleks Pertama.
Siri ini akan bersambung dalam bahagian seterusnya, insya-Allah.
Isnin, 11 Oktober 2010
Bas Ekspress.. Oh.. Bas Ekspress!!!

Berita utama media hari ini; Tragedi Oktober; cukup menyayat hati. Al-fatihah buat yang terkorban dalam nahas yang berpunca daripada bas ekspress yang dipandu laju. Hendak dikata apa lagi sebab nasi telah menjadi bubur. Sudah resam orang kita; sudah terhantuk baru nak terngadah. Pelbagai tindakan dan langkah pencegahan telah diambil. Persoalannya; setakat manakah keberkesannya? Adakah pemantauan dan tindakan SEGERA diambil?
Saya sekeluarga pernah melalui saat yang mencemaskan apabila berhadapan dengan pemandu bas ekspress yang hilang akal. Umumnya mengetahui, setiap kenderaan perdagangan akan dipamerkan nombor telefon aduan LPKP sekiranya kenderaan dipandu secara bahaya. Namun, pengalaman saya pada hari kejadian nombor berkenaan tidak berjawab. Saya maklum pada hari kejadian cuti umum; tetapi apa rasionalnya nombor aduan berkenaan? Sekadar berfungsi pada waktu pejabat?
Berikut adalah salinan aduan saya yang dibuat melalui e-mel.
Date: Mon, 1 Mar 2010 20:29:33 -0800 (PST)
From: anum ahmad
Reply-To: anum ahmad
Subject: BAS EKSPRESS YANG MEMANDU SECARA BERBAHAYA - WSE 7809
To: aduan@lpkp.gov.my
Saya dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas.
Maklumat kejadian adalah seperti berikut:-
No. Pendaftaran Bas : WSE7809
Syarikat : Sabak Bernam Ekspress
Warna : Merah
Tarikh : 26 Februari 2010 (Jumaat)
Waktu : lebih kurang 9 -10 pagi
Lokasi kejadian : Ijok menghala ke Kuala Selangor
Aduan
1. Memandu secara berbahaya, pemandu telah menghimpit kereta kami sekeluarga sehingga menyebabkan kami terpaksa ke laluan kecemasan
2. Kemudian, pemandu berkenaan tidak memberi laluan untuk kami masuk ke lorong kiri
3. Memotong garisan berkembar
4. Memandu melebihi had laju, lebih 100 km/jam
5. Pemandu berhenti di tepi jalan, lalu menunjukkan penumbuk
6. Pemandu bas ekspress cuba mengejar kenderaankami dan mengikut di belakang dalam jarak yang dekat
Pengadu : Safinaz Hanum Ahmad Anuar
No. K/P : xxxxxxxxx
No. Tel. : xxxxxxxxx
Alamat : xxxxxxxx
Sekian, terima kasih.
Ini pula maklum balas yang saya terima.
Puan,
Merujuk kepada aduan puan seperti di atas.
Adalah dimaklumkan bahawa aduan yang telah puan majukan kepada LPKP iaitu Bas Ekspress bernombor pendaftaran WSE 7809.Unit Aduan LPKP telah pun selesai menjalankan siasatan terhadap pemandu tersebut.Pemandu tersebut telah di beri AMARAN keras supaya lebih berhati -hati semasa memandu di masa akan datang.
Sekian.
Unit Pengurusan Aduan LPKP.
Satu lagi kejadian saya alami di Plaza Tol Sungai Besi pada bulan Ramadhan yang lalu. Terdapat sebuah bas ekspress yang memandu laju dan mengekori saya dalam jarak yang dekat. Ketika menghampiri pondok tol, bas berkenaan menukar laluan ke kiri; manakala saya masih mengekalkan kenderaan di lorong Touch N Go. Secara tiba-tiba bas berkenaan yang berada di lorong sebelah kiri saya terus membelok ke lorong dua ke kanan betul-betul di hadapan kereta saya. Dalam hati; **&^^&%^$%%$##@##...
Jumaat, 8 Oktober 2010
Aku, Langit dan Awan
Isnin, 4 Oktober 2010
Gigi - Hasil Karya Nour Almawaddah Ahmad Azlan
Hasil karya pensel warna yang mempunyai pelbagai ton warna dalam sebatang. Pensel dari Jepun; hadiah bekas rakan sekerja di MyIPO, Kak Siti Hasniza.



