Jumaat, 27 Julai 2012

Suasana Kerja Baru

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..

Alhamdulillah, saya masih diberi kesempatan olehNya untuk menjalani ibadah puasa, Ramadhan 1433H.  Hari ini, 27 Julai 2012 (Jumaat) merupakan hari ketujuh, umat Islam di Malaysia berpuasa.  Tahun ini merupakan tahun pertama saya berpuasa sebagai kakitangan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.  Setelah hampir dua tahun berkhidmat di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor (ICU, JPM) yang terletak di Shah Alam, niat saya untuk kembali bertugas di Kuala Lumpur, dimakbulkan Allah. Pada 09 Julai 2012, secara rasminya saya mula bertugas di MINDEF secara tukar suka sama suka.

Jarak tempat bertugas kali ini lebih hampir dengan kediaman saya, cuma sepuluh kilometer; berbanding dengan jarak ke pejabat dahulu sejauh 33 kilometer.  Saya masih bermotosikal le tempat kerja, dengan keadaan sekarang, hamil 22 minggu cahaya mata kelima.  Hehehe, praktikal dan yang penting, saya lebih gemar menunggang daripada memandu. Lebih-lebih lagi dengan keadaan trafik yang padat.

Buat masa ini, saya masih meletakkan motosikal saya di luar pagar MINDEF, disebabkan saya masih belum memiliki pelekat kenderaan.  Dari tempat letak motosikal ke pintu masuk Kaunter D, bangunan Wisma Pertahanan, jikalau saya berjalan ala kartun akan ambil masa lebih kurang tiga minit sahaja.  Dengan gaya lenggok mak minah, lebih kurang lima sehingga sepuluh minit untuk sampai ke pintu masuk, Kaunter D.

Terdapat beberapa kemudahan yang disediakan di ruang legar lobi Wisma Pertahanan ini, antaranya, kafe, Affin Bank Berhad, ATM BSN dan  ATM Affin Bank.  Kafe di sini menyediakan pelbagai juadah, antaranya, nasi campur (lauk-pauk beserta sayur-sayuran yang pelbagai), yong tau foo, makanan barat, kuih-muih dan sebagainya.
 Persimpangan menuju ke Pejabat Pos MINDEF
(Setentang dengan Masjid Khalid Al-Walid)


Kemudahan Pejabat Pos terletak di luar MINDEF, tetapi tidak sampai satu kilometer.  Masjid Khalid Al-Walid juga terletak berhampiran MINDEF.  Masjid yang menjadi tumpuan terutamanya untuk sholat Jumaat.

Masjid Khalid Al-Walid

Dari Pejabat Pos MINDEF, kelihatan Wisma Pertahanan


Pemandangan dari luar Pejabat Pos MINDEF


Alhamdulillah, suasana kerja di sini baik dan unit saya bertugas sentiasa sibuk.  Bos saya pun, alhamdulillah baik dan memahami; wanita warga kota.  Rakan sejawat saya, lelaki, orang Kelantan.  Anak buah di unit saya, Puan Safariah (CC), Kak Zu, Kak Liz, Kak Ani, Deena, Irma dan Cik Abu.  Baru-baru ini (23 Julai 2012), seorang pegawai sambilan harian lapor diri, Asnita namanya.  Pernah bertugas di sini.  Dapatlah juga saya menuntut ilmu daripada beliau, banyak perkara yang saya perlu belajar.  Almaklumlah, ini pertama kali saya bertugas direct bawah kementerian.

Insya Allah, ada umur, diizinkanNya, saya lakarkan kisah yang lain pula...