Berita utama media hari ini; Tragedi Oktober; cukup menyayat hati. Al-fatihah buat yang terkorban dalam nahas yang berpunca daripada bas ekspress yang dipandu laju. Hendak dikata apa lagi sebab nasi telah menjadi bubur. Sudah resam orang kita; sudah terhantuk baru nak terngadah. Pelbagai tindakan dan langkah pencegahan telah diambil. Persoalannya; setakat manakah keberkesannya? Adakah pemantauan dan tindakan SEGERA diambil?
Saya sekeluarga pernah melalui saat yang mencemaskan apabila berhadapan dengan pemandu bas ekspress yang hilang akal. Umumnya mengetahui, setiap kenderaan perdagangan akan dipamerkan nombor telefon aduan LPKP sekiranya kenderaan dipandu secara bahaya. Namun, pengalaman saya pada hari kejadian nombor berkenaan tidak berjawab. Saya maklum pada hari kejadian cuti umum; tetapi apa rasionalnya nombor aduan berkenaan? Sekadar berfungsi pada waktu pejabat?
Berikut adalah salinan aduan saya yang dibuat melalui e-mel.
Date: Mon, 1 Mar 2010 20:29:33 -0800 (PST)
From: anum ahmad
Reply-To: anum ahmad
Subject: BAS EKSPRESS YANG MEMANDU SECARA BERBAHAYA - WSE 7809
To: aduan@lpkp.gov.my
Saya dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas.
Maklumat kejadian adalah seperti berikut:-
No. Pendaftaran Bas : WSE7809
Syarikat : Sabak Bernam Ekspress
Warna : Merah
Tarikh : 26 Februari 2010 (Jumaat)
Waktu : lebih kurang 9 -10 pagi
Lokasi kejadian : Ijok menghala ke Kuala Selangor
Aduan
1. Memandu secara berbahaya, pemandu telah menghimpit kereta kami sekeluarga sehingga menyebabkan kami terpaksa ke laluan kecemasan
2. Kemudian, pemandu berkenaan tidak memberi laluan untuk kami masuk ke lorong kiri
3. Memotong garisan berkembar
4. Memandu melebihi had laju, lebih 100 km/jam
5. Pemandu berhenti di tepi jalan, lalu menunjukkan penumbuk
6. Pemandu bas ekspress cuba mengejar kenderaankami dan mengikut di belakang dalam jarak yang dekat
Pengadu : Safinaz Hanum Ahmad Anuar
No. K/P : xxxxxxxxx
No. Tel. : xxxxxxxxx
Alamat : xxxxxxxx
Sekian, terima kasih.
Ini pula maklum balas yang saya terima.
Puan,
Merujuk kepada aduan puan seperti di atas.
Adalah dimaklumkan bahawa aduan yang telah puan majukan kepada LPKP iaitu Bas Ekspress bernombor pendaftaran WSE 7809.Unit Aduan LPKP telah pun selesai menjalankan siasatan terhadap pemandu tersebut.Pemandu tersebut telah di beri AMARAN keras supaya lebih berhati -hati semasa memandu di masa akan datang.
Sekian.
Unit Pengurusan Aduan LPKP.
Satu lagi kejadian saya alami di Plaza Tol Sungai Besi pada bulan Ramadhan yang lalu. Terdapat sebuah bas ekspress yang memandu laju dan mengekori saya dalam jarak yang dekat. Ketika menghampiri pondok tol, bas berkenaan menukar laluan ke kiri; manakala saya masih mengekalkan kenderaan di lorong Touch N Go. Secara tiba-tiba bas berkenaan yang berada di lorong sebelah kiri saya terus membelok ke lorong dua ke kanan betul-betul di hadapan kereta saya. Dalam hati; **&^^&%^$%%$##@##...