Selasa, 12 Oktober 2010

Panduan Menunggang Motorsikal - Bahagian I




Suami dan anak sulung kami


Entry kali ini saya kongsikan berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya. Saya bukanlah pakar tetapi jika diberi pilihan antara menunggang motorsikal dengan memandu kereta; saya akan pilih menunggang motorsikal. Banyak pengalam suka-duka bermotorsikal, walaupun saya cuma berpengalaman menunggang motor kapcai; namun Tuhan temukan jodoh saya dengan si dia yang gila motor. Sehingga kini, saya gagal untuk meng-upgrade-kan cc penunggangan ke R1 mahupun Hayabusa dek kerana tiada mendapat keizinan emak saya juga.



Bertemankan suami yang kaki motor; daripada motor klasik sampai superbike beliau amat obses. Sehinggakan bab baiki, cat mahupun upgrade rakan-rakan juga bos di tempat kerja akan mencari beliau. Di sisi suami, minat saya pada penunggangan motor turut meliputi soal keselamatan ketika menunggang.

Sebelum menunggang, terdapat beberapa disiplin pakaian yang perlu diambil perhatian.

1. Pakaian yang bersesuaian:-
i. Warna
Pastikan memakai pakaian berwarna cerah. Sekiranya pakaian berwarna gelap, seeloknya pakai jaket keselamatan. Sekiranya tiada jaket keselamatan, boleh diusahakan menggalaskan beg yang berwarna cerah atau beg yang mempunyai pemantul cahaya di belakang badan.

Ini dapat membantu pengguna jalan raya yang lain melihat kita dan seterusnya menyedari kehadiran kita.

ii. Cara pemakaian
Kebiasaan penunggang motorsikal gemar menyarungkan jaket secara terbalik. Yakni baju dizipkan (selalunya tidak dizip) di belakang badan. Cara ini tidak betul. Setiap bahagian jaket dicipta untuk melindungi anggota badan tertentu. Kegagalan untuk memakai secara sepatutnya memungkin kecederaan. Apa yang saya perhatikan selalunya jaket tidak dizip dan dibiar menggelebeh ke handle motor. Ini juga tidak sesuai dan boleh mengundang bahaya kerana sedikit-sebanyak ianya mengganggu fokus penunggangan. Terdapat juga kes di mana jaket tersangkut pada roda motor semasa di atas jalan raya.

iii. Seluar
Seeloknya pakailah seluar panjang dan bukannya seluar katok. Ingatlah, tar jalan itu lebih keras daripada kepala lutut anda.

2. Kasut
Lebih molek kiranya kita memakai kasut daripada selipar hatta tatkala musim hujan. Dek kerana sekiranya terlibat dengan kemalangan, sekurang-kurangnya bahagian kaki (buku lali, jari, pergelangan kaki) kita selamat dan kasut itu boleh dicari ganti.

3. Topi Keledar
Pastikan topi keledar yang dipakai mempunyai logo SIRIM. Adalah berbaloi mengeluarkan sedikit belanja untuk topi keledar yang bermutu kerana ianya melindungi aset paling penting kita; yakni kepala. Saya kurang faham sikap sesetengah individu yang sanggup menebuk lubang di kedua-dua sisi topi keledar bagi membolehkan ianya dirantai pada roda motor. Sudahlah jenama Apollo atau Magnum yang hanya memberikan perlindungan minima, ditebuk pula.

Pemakaian topi keledar hendaklah diikat dengan kemas dan bukannya dibiarkan teroleng-oleng di kepala.

4. Sarung Tangan
Sarung tangan merupakan kelengkapan penunggangan yang sering diabaikan. Kebiasaannya, hujung jaket dilabuhkan untuk melindungi tangan. Kepentingan sarung tangan tidak patut diabaikan kerana ianya turut berfungsi melindungi sendi-sendi tangan dan amat berguna untuk melindungi tangan daripada cuaca panas mahupun hujan.

Jaket, topi keledar, but mahupun sarung tangan selalunya kami beli di Sentul dan Kompleks Pertama.

Siri ini akan bersambung dalam bahagian seterusnya, insya-Allah.



Bersama Mazidul: OKT Takut Naik Bas Delima

Bersama Mazidul: OKT Takut Naik Bas Delima