Khamis, 2 Disember 2010

Seorang Lelaki Tua di Perhentian Bas

Setiap hari ke tempat kerja saya akan melalui Jalan Kuching menghala ke Pusat Bandar sebelum masuk ke susur NKVE. Setiap pagi jua akan kelihatan seorang lelaki tua berbangsa Cina setia di perhentian bas ini.

Anehnya lelaki tua ini saban hari memakai pakaian yang sama, berkemeja coklat dan berseluar katok. Di tepi perhentian bas itu juga terdapat sebuah motorsikal yang kelihatan uzur. Yang anehnya juga, terdapat beberapa tayar dan tiub tayar sentiasa bersangkutan di handle, bakul dan tempat duduk belakang. Mungkinkah lelaki tua itu pemilik motorsikal berkenaan?

Terlintas di hati, bagaimanakah zaman tua saya nanti?

Di manakah waris lelaki ini? Anak, isteri mahupun adik-beradik yang lain? Mengapakah saban hari dia setia berada di sana? Siapakah yang dinanti?

Di tengah kepesatan jalan raya dan kesibukan kita mengejar dunia, adakalanya kita terlepas saat untuk menikmati kehidupan dan menghargai orang di sekeliling kita.