Selepas sholat sunat hari raya, kami sekeluarga (tiga kereta) bergerak ke kampung halaman arwah ayah saya di Kampung Mesah Hilir, Gopeng, Perak. Selalunya kami tiba di sana pada pukul sepuluh pagi jika bertolak selepas sholat sunat hari raya. Namun, pada hari Jumaat lepas (10 September 2010), keadaan trafik amat perlahan. Mengikut kata abang saya yang memandu di hadapan, berlaku kemalangan di mana sebuah kereta Mercedes telah melanggar pembahagi jalan. Kala kereta saya melalui tempat kejadian, tiada sebarang kesan kemalangan ekoran tindakan pantas kakitangan Plus. Terima kasih atas jasa mereka yang bertugas di saat kebanyakan orang bercuti. Akibatnya, kami sampai di destinasi pada pukul 12.30 tengahari.
Anak-anak saya yang menaiki Pajero abang saya telah sampai terlebih dahulu. Seperti yang saya jangka, mereka sibuk beramah mesra dengan kambing-kambing peliharaan sepupu saya. Aduh! Kambing pun serik jumpa anak-anak saya. HAHAHA. Tak cukup dengan kambing, itik dan ayam pun jadi barang mainan.
Tengoklah anak-anak saya yang tiga orang dan sepupu-sepupu mereka. Asyik sangat dengan kambing. Lebih-lebih lagi terdapat seekor anak kambing yang tersangat comel. Hitam dan putih warnanya. Eimran anak kedua saya gemar sangat dengan si anak kambing berkenaan. Ke mana sahaja anak kambing itu pergi, diikutnya. Gambar berikut ini, aksi pengembala kambing berbaju Melayu merah di tepi sungai yang terletak di hadapan rumah Tok Tehnya.
Alhusna duduk mencangkung sebentar selepas sesi latihan memanas badan dengan mengejar itik-itik Tok Tehnya. Selepas penat kejar haiwan ternakan,mandi sungai pula tiga beradik ni.
Kami menziarah adik-adik arwah ayah saya sebelum bertolak ke kampung suami di Kampung Tersusun, Batu 7, Lekir, Manjung, Perak. Kami berada di Manjung sehingga raya ketiga. Pagi hari raya ketiga, kami bertolak pulang. Dalam perjalanan pulang, singgah sebentar di rumah adik bapa mertua saya di Sungai Buloh.
Suami saya ambil kesempatan melelapkan mata. Anak saya yang sulung, Almawaddah tumpang sekaki baring di sebelah bapanya. Adiknya, Alhusna sibuk bermain dengan Mak Langnya.
Sebelum sampai Sungai Buloh, kami singgah di Sabak Bernam membeli mentarang (sejenis hidupan laut seperti kerang). Saya terkenangkan emak saudara yang gemar makan mentarang. Ini hasil mentarang yang telah dimasak oleh Mak Ngah.
Isinya putih, lembut dan sedikit kenyal. Lebih manis dari kerang tetapi kurang berbau berbanding kerang. Sedap!! Jemput makan...