Rabu, 16 Disember 2015

Zaman Kanak-Kanak, Zaman Terindah


Teringat sewaktu mesyuarat kali pertama di tempat bertugas baharu hari Selasa baru-baru ini (081215). Pabila sesi memperkenalkan kakitangan baharu, saya diberi peluang memperkenalkan diri, antaranya tempat asal. Saya maklumkan ahli mesyuarat saya orang Kuala Lumpur, lahir dan membesar di Kuala Lumpur. Pengerusi mesyuarat gelak besar, sambil berkata, kita semua orang luar, Puan Hanum je orang sini nampaknya.. Haha...
Saya senyum je... Ye saya lahir dan membesar di kota tetapi dibesarkan dalam suasana desa. Tempat lahir saya, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur, tika itu tiada bekalan elektrik, guna bekalan air kerajaan berpusat (beberapa rumah berkongsi satu paip), tiada jalan raya berturap dan apatah lagi talian telekom.
Kami ke sekolah menaiki prebet sapu, budak cenonet tambang sekupang, sekolah menengah, dua kupang dan yang dewasa tiga kupang. Duduklah kami berhimpit2.
Malam-malam kami adik-beradik duduk keliling mak. Mata semua bulat2, terkedip2 menanti mak pam lampu gasolin.
Rumah papan kami beratap zink, mak ambil inisiatif membuat langit-langit dari perca kain. Pabila baring akan nampak siling rumah berwarna-warni dan sesekali beralun ditiup angin. Keseluruhan siling rumah bersilingkan perca kain kecuali ruang dapur dan tandas. Berkurangan sedikit bahang dalam rumah.
Tiada tv pada mulanya. Mak berdikit-dikit, dptlah tengok tv hitam putih. Waktu tu sedang top cerita Oshin dan bola tampar berpusing3, Maero Attack dan cerita perempuan saiko yang suka ugut sambil gigit sarung tangan (sape ingat tajuk?)
Hiburan kami, labah2 beralas daun durian belanda dalam kotak mancis. Ikan laga yang kami tahan dari aliran paya belakang rumah, sangat cantik. Ikan puyu hasil tangkapan dari lombong dan longkang.
Riadah petang kami diisi dengan main combat, guna pistol ceri. Saya ada dua, satu pistol dan satu senapang ceri, mestilah ayah yang buatkan. Pokok-pokok pisang jadi benteng utama pertahanan.
Ayah rajin berkebun. Ayah telah kembali ke rahmatullah pada 1991 tetapi dalam coretan ini, saya selesa menceritakan perihal beliau seolah2 beliau masih hidup kerana saya sangat rapat dengan Ayah.
Ayah peraih pisang dan kelapa dari hasil pajakan sekitar Sabak Bernam, Sekinchan dan sewaktu dengannya selepas bersara tentera pada 1974.
Kami diajar ayah mengutip hasil kampung seperti keladi, daun pisang dan lain-lain. Hasil kampung kami ikat, susun belakang lori ayah, susun kemas-kemas dengan jualan sisir pisang dan kelapa.
Ayah akan pandu lori sekitar Kem Ampat Tin dan menghantar hasil jualan ke kedai runcit berdekatan. Hasil jualan sayuran kampung yang kami adik-beradik kutip, ayah bagi kami. Abang saya, Syahid, dah boleh bantu ayah, pandu lori buat mencari rezeki. Selain bantuan tetap daripada abang2 dan abang2 sepupu yang lain.
Ayah buat sendiri lemang setiap kali raya. Balik kampung beraya, kami sekeluarga naik lori. Bentang tilam kat belakang, tidurlah kami adik-beradik. Seronok. Sampai sekarang masih terasa bahagia dan seronok. Tak de air cond. Berbumbungkan kanvas sahaja, mak akan buat langsir daripada perca kain yang mak jahit menjadi selimut di belakang lori. Supaya dapat jari2 kecil kami rapatkan tatkala hujan bagi mengelakkan tempias.
Emak tak kurang bekerja di rumah mencari rezeki. Mak jual aiskrim Malaysia. Mak buat jualan barangan runcit kecil-kecilan. Macam adik Mak, Mak Minah.
Cuti sekolah, kami cari duit poket. Kakak Sofiah Hanim buat solder barangan kilang. Abang Syahid Anuar kerja kilang mayonis. Abang Mohd saiful, kerja kilang juga. Saya tolong mak siapkan order cadar, apron kedai Sin Thye Batu 5. Lipat dan masuk kemas2 dalam plastik. Ambil kain, zip dari Sin Thye dan hantar yang siap ke kedai.
Suatu pagi, Jiji ajak kami jogging, maka keluarlah saya, Ina Maz Mokhtardan beberapa orang lagi seawal jam 7 pagi berjogging dengan hanya memakai selipar Tak Seng; umpama kasut Nike kami. Tiba-tiba anjing-anjing kebun sayur turut 'jogging' bersama. Apa lagi, kami semua terus bertukar menjadi Rabuan Pit yang berlari sampai gelak. Gelak sampai berlari. Berlari sambil pandang belakang. Sungguh kami tak sangka bakat larian kami seperti berlari atas angin kerana anjing-anjing itu ketinggalan jauh nun di belakang.
Yang mewarisi sifat gigih berniaga orang tua tak lain tak bukan abang saya Mohd Saiful. Tak percaya?? Korang nak lesen radio Amatur, cari urutan bagi lelaki cari dia. Dia juga ada kerja tetap. Abang Ngah dan Abang Chik jua mewarisi ketekunan ayah berniaga dan mengail udang galah.
Udang galah??? Wuhuuu.. segar dari sungai merata ceruk dikail ayah, abang2 dan abang2 sepupu. Best woo.... Ketip udang tu ada isi habaq hang... hahaha. Siap boleh sedekah pada jiran-jiran.
Ikan belida hasil tangkapan, mak buat bebola ikan. Ini pun sangat sedapsssssss. Mak salai ikan belida atas bara api. Mak siat kulit. Mak korek isi guna kulit kerang warna putih yang besar. Mak bulat2kan.
Ikan tilan salai jadi habuan belasan kucing peliharaanku. Gemuklah korang. Kucing lejen waktu tu nama dia Comot. Mak kata Comot lagi tua dariku. Mak sayang Comot. Sebab Comot jaga anak2 dia. Waktu mak siang ikan atau ayam, Comot akan gigit leher anak2nya yang ganggu mak, jauh dari tempat mak. Comot juga setia tungguku balik sekolah.
Percayalah kucing kami banyak. Part kelakar pabila ayah panggil kucing2. Kenapa?? Konpem abang2, abang2 sepupu ku menyahut..... Menyangkakan ayah panggil. Kang tak nyahut kang, ado yang kono marah... kalau betul waktu tu ayah panggil dorang. hahaha
Kenal batu ladung? Saya belajar buat batu ladung daripada ayah. Guna lampu kabait, bateri kereta lama, daun kelapa, lidi, sebekas air, kuali kecil dan sudu. Kelas yang takde di Kuala Lumpur saat ini.
Ya, saya orang Kuala Lumpur.
Saya hidup suasana desa dalam kota.
Saya akan sentiasa kenang memori terindah.
Semoga emak dan semua adik-beradik saya serta seluruh ahli keluarga sentiasa dalam redhaNya.
Buat yang telah kembali ke sebaik2 tempat kembali, semoga kita bertemu lagi dalam redhaNya. Sesungguhnya rindukan kalian.
Semoga saya dapat didik anak2 ahli syurga saya seperti mak ayah didik kami.
Anak Jati Kuala Lumpur
121215

Tiada ulasan:

Catat Ulasan